Seronok Bermaksiat Daripada Beribadah

Assalamualaikum wbt.

Saudaraku, maksiat adalah melakukan perkara-perkara yang dilarang atau tercela dalam syariat Islam, dan pelakunya akan mendapat dosa. Dan ibadah pula dari sudut makna syarak adalah taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah swt., kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. 
 
Kadangkala memang timbul satu macam perasaan rasa malas melakukan ketaatan padaNya dan hati kecil ini lebih cenderung memilih jalan maksiat, kita manusia yang punya fitrah yang berubah-ubah, maka ingatlah bahawa Allah swt. mendengar, melihat, mengetahui segala macam perbuatan kita, nescaya kita pasti berasa takut untuk melanggar perintahNya, dan ketahuilah juga di kiri dan kanan kita ada dua malaikat yang selalu mencatat setiap sisi perbuatan kita.

Jika hal di atas belum memberi kesan dan hati terus berkeras seronok bermaksiat, ingatlah kawanku bahawa dekatnya detik kematian dengan kita, walau sekelumit pasti akan ada rasa takut terhadap datangnya kematian. Bayangkan sekiranya maut datang secara tiba-tiba dan diri kita berada dalam keadaan yang tidak diredhai Allah, alangkah ruginya kita tiada batasnya.

Jika hati yang mati ini masih tidak menerima kesan, maka ketahuilah apa yang Allah swt. janjikan buat hambaNya yakni ganjaran pahala bagi yang mentaatiNya dan apa yang akan diazabkan dariNya azab yang amat pedih buat mereka yang leka dan lagha bermaksiat.


Dimanakah kita mahu meletakkan diri kita?. Ya Allah berikanlah cahaya petunjuk ke arah kebaikan dan jauhilah hambaMu ini dari segala keburukan, jiwa yang keras ini perlukan bisikan dan pengharapan untuk berubah, katakanlah dan berbisiklah kepada hati,

"Wahai jiwaku sesungguhnya tiada lagi rumah setelah kehidupan dunia kecuali syurga atau neraka, maka apakah kau memilih untuk taat pada Allah yang mana balasannya adalah kesenangan, kemenangan, keredhaan dan kekelkaan di dalam luasnya syurga Allah, atau kau mahu memilih jalan hitam untuk bermaksiat yang mana pengakhirannya adalah penyesalan yang tiada taranya, kemurkaan Allah dan terkurung dalam neraka penuh azab".

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...