Kekasih Yang Belum Tiba

Assalamualaikum wbt.

Seorang pemuda itu terus termenung, nun memandang jauh saujana mata memandang. Di tangannya memegang seketul batu kecil, lalu dicampakkan ke dalam sungai yang mengalir tenang itu, diambil pula batu yang lainnya mengulangi skrip yang sama. "Kenapa saudara?, saya melihat saudara berseorangan dan seperti memikirkan sesuatu". Lantas dia tersenyum, "aku masih menunggu, dan masih tertunggu-tunggu jodoh yang belum tiba, adakah membujang sampai bila-bila itu takdirku?".

Jodoh itu seperti rezeki, ia sudah ditentukan oleh Allah swt. dan usahlah risau kerana nun di luh mahfuz sudah tertulis cantik aturan jodoh buat hamba-hambaNya. Begitu juga ajal, maut dan semuanya tentang diri kita sudah ditentukan oleh Allah swt. dan disebut bahawa semua ini telah diatur olehNya semenjak dari alam rahim ibu lagi.

Semuanya adalah rahsia Allah swt., berpegang kepada hakikat itulah kita diperintahkanNya agar berusaha mencari dan mendapatkannya. Carilah jodoh yang baik, dengan cara yang baik, berusahalah dengan baik, pasti Allah swt. tidak akan mengecewakan kita. Kalau itu takdir, harus diterima kerana semua milik Allah, hanya usaha itu milik kita.


Pasrah dan bertawakkal dalam menanti jodoh, tetapi jangan hanya sekadar menanti kerana ia takkan datang sendiri untuk menjemput, perlu berusaha. Mungkin jodoh itu ada, walau lewat mana sekalipun tetap perlu menunggu kerana masanya belum tiba. Ia bagaikan meniti jambatan ke seberang, kalau panjang jambatannya maka lewatlah untuk sampai ke sana, begitu pula sebaliknya.

Walau kita yakin akan berbahagia dengan si dia, jangan pula terburu-buru kerana mungkin akan hadir sekelumit derita di sebalik bahagia. Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan, dimana dulunya teguh membina janji sehidup semati, dan kadangkala sanggup melakukan apa sahaja asalkan berjaya demi cinta. Mungkin nampak mudah pada pandangan mata, tetapi pernikahan cukup berat jika dilihat menggunakan hati.

Wahai sahabat, kenapa perlu dirisaukan, tiba waktunya ia akan hadir menjemput, jika dicari cinta dan kekasih itu dengan cara yang sempurna, dan berusaha membuka jalan-jalannya agar jodoh itu akan hadir tanpa terhalang dengan bermacam cabaran. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...