Hati Yang Mati

Assalamualaikum wbt.

Pernah dikhabarkan hati yang hitam adalah hati yang mati kerana dipenuhi dengan kegelapan akibat dari banyaknya bergelumang dengan dosa. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak memberi makan dan minum sebaiknya, begitulah juga hati yang akan mati jika tidak menerima santapan rohani dengan sewajarnya.

Hadis Rasulullah saw. menyebut, "sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya, dan jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hinggakan hatinya menjadi hitam".

Hati mati kerana gagal menggunakan fungsinya untuk mentaati perintah Allah swt. dan lalai dalam mengambil iktibar dan pengajaran dari ujian-ujian Allah untuk berubah menjadi lebih baik. Sebahagian dari tanda matinya hati itu adalah tidak menyesal melanggar larangan Allah swt. dan berterusan melakukan dosa, juga tidak berdukacita jika terlepas untuk membuat amal kebajikan.


Wahai sahabat, hidupkanlah dan makmurkanlah hati itu dengan zikrullah yakni mengingati Allah swt.,  berkawanlah dan dekatkanlah diri dengan para-para manusia pencinta Allah swt., dan bawalah makna zuhud dalam kehidupan di dunia. Kita akan depertanggungjawabkan di akhirat kelak jika gagal menghidupkan hati.

Tinggalkanlah perkara-perkara yang lagha walau berasa berat sekalipun, cubalah sedaya yang termampu, mungkin kita merasakan semua yang terlarang itu indah, tetapi Allah swt. lebih mengetahui segalanya dan tahu apakah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Jangan letakkan kecintaan terhadap dunia hinggakan hati menjadi mati dan hilang cahaya hidayah Allah swt. kerana begitu kasihkan dunia.

Akan lahirnya satu titik hitam pada hati akibat dari dosa yang tiada bertaubat. Itu baru satu dosa, inikan pula kalau adanya sepuluh dosa, seratus dosa, atau seribu dosa, bayangkanlah betapa hitamnya hati saat itu. Mengapa harus dibiarkan hati itu hitam dan mati, jangan dibiarkan nikmat agung kurniaan Allah ini terus ditelan kegelapan. Wallahua'lam.

Mudahkah Nanti ?

Assalamualaikum wbt.

Nanti suatu keadaan dimana waktunya menghampiri, akan datang rasa sejuk di bahagian pusat dan rasa sejuk itu akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum pula. Ketika ini, haruslah hati dan seluruh jiwa mengingati Allah swt. dan mengucap kalimah syahadah 'Lailahaillallah', menantilah akan hadirnya malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah swt..

Jika Allah swt. mengkehendaki seseorang itu diambil nyawanya, maka datanglah malaikat maut bagi memisahkan roh dari jasad. Kita takut akan kelunya lidah ini untuk mengucap 'Lailahaillallah' semasa hampir tibanya ajal. Yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika datang ajalnya, dengan izin Allah swt. akan dijanjikan syurga untuk mereka.

Ketika sakaratul maut akan datanglah pelbagai hasutan jahat dari syaitan yang tidak pernah berhenti untuk menyesatkan manusia. Adakah lidah lembut ini akan mudah melafazkan syahadah, apakah hati ini sentiasa mengingati Allah, atau akan terus terganggu dengan segala kejahatan dan kesesatan atas dunia ini.


Saat semasa kita sihat mudahlah untuk melafazkan 'Lailahaillallah' dan bagaimana pula ketika kita sakit ataupun sekadar demam, mungkin akan mengalami sedikit kesukaran. Inikan pula ketika menghadapi sakaratul maut, sesungguhnya kita tidak mengetahui akan peri sakitnya sakaratul maut itu.

Tatkala berlaku sesuatu yang buruk dan ketika marah dan saat mengalami kesulitan atau kesusahan, apakah kita akan menyebut lafaz 'Lailahaillallah' 'Astaghfirullah' 'Allahuakhbar' 'Nauzubillah' 'Subhanallah' 'Mashaallah', ataupun akan keluar kata-kata yang kesat, buruk, hina, atau mencarut sesuka hati. Adakah lidah kita lazim menyebut 'Allah' atau sebaliknya. Jika dalam keadaan kita sedar dan sihat kita lupa menyebut nama Allah swt., apakah ketika sakaratul maut nanti kita mudah menyebut dan mengingatiNya.

Semasa sakaratul maut, bukankah seseorang itu lebih mudah mengatakan apa yang selalu dicintai, difikirkan, dan apa yang dilakukan selama hidup di dunia. Buat mereka yang memenuhi hatinya dengan cinta Allah, kecintaan kepada Rasulullah dan amal soleh, dengan izin Allah swt. maka senanglah mereka ketika ajal nanti.

Berdoalah kepada Allah swt. agar kita terus dekat kepadaNya, sentiasa mendapat rahmatNya, dikurniakan cahaya petunjuk dariNya dan terlindung dari segala kekhufuran. Persoalannya, mudahkah kita nanti?. Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...