Sampaikanlah Dengan Rasa Hikmah

Assalamualaikum wbt.

Dakwah ialah menyeru ke arah kebaikan atau mengajak kepada amalan makruf dan menajuhi perkara mungkar. Sebaik-baik berdakwah perlulah bersandar pada ilmu yang baik, kefahaman yang tinggi dan keterangan yang jelas. Sampaikan dakwah dengan penuh ketegasan dan penekanan yang tinggi tetapi penuh dengan rasa harmoni dan menghormati.

Atasilah kemungkaran dengan kekuasaan atau mandat yang kita ada, atau mengubah dengan lidah yakni cuba memberi nasihat dan cara yang terakhir bagi selemah-lemah kemampuan yang kita ada, iaitu mengubah dengan hati yakni membenci akan kemungkaran tersebut. Jika dengan hati pun kita tidak mampu, maka akan hilanglah keimanan di dalam hati.

Hikmah adalah pendamping dan sentiasa akan menjadi perhiasan bagi apa pun perkara yang bersifat dakwah. Dakwah dengan hikmah adalah bijak menyesuaikan diri dan ilmu dengan keadaan dan situasi yang dihadapi. Bijak dalam berdakwah ini mampu membuatkan orang lain disekeliling kita berasa selesa dan dakwah yang disampaikan tidak menjadi suatu bebanan.


Jangan difikirkan apa balasan yang Allah swt. akan kurniakan kepada kita jika menyampaikan dakwah kearah kebaikan, kerana menyampaikan perkara-perkara benar adalah amanah Allah swt. kepada kita hambaNya. Dan Allah swt. lebih mengetahui mana amalan yang baik dan Dia pasti akan mengurniakan ganjaran buat mereka-mereka yang berhak.

Sampaikanlah dakwah dengan rasa yang ikhlas, semata-mata untuk menuju ke pangkuanNya. Hilangkan rasa ingin mengejar populariti dalam berdakwah dan hindarlah sikap pentingkan diri sendiri dalam berdakwah. Ikhlaslah berdakwah kerana memburu redha Allah swt.. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...