Jangan Bersedih Jangan Merajuk

Assalamualaikum wbt.

Kenapa perlu kita bersedih dan merajuk kepada sesuatu perkara yang sudah terjadi, tersenyumlah kerana hal itu mungkin sudah diaturkan begitu dan ia mungkin boleh membawa kepada satu hikmah yang lebih baik dan sempurna. Walaupun sukar, hilangkanlah emosional dan cuba berfikiran lebih positif.

Janganlah terus bersedih kerana ia telah berakhir, walau seberat mana pun ketentuan itu, senyumlah kerana ia telah berlaku dan cuba simpanlah ia menjadi sebuah memori. Memori yang bukan untuk dikenang tetapi sebagai teman agar kita lebih tabah menghadapi sekali lagi andai skrip yang sama berulang lagi.

Pandang dan lihatlah ke cermin, bukankah wajah sudah hilang seri tatkala hati terus merajuk, pujuklah hati yang sedih dengan cuba memuji diri sendiri. Hadirkan semula riak yang gembira, cantik, dan bijak yang pernah dimiliki dulu, dengan segala kurniaan indah Allah swt. inilah kita luahkan kesyukuran kepadaNya agar akan ada semula ketenangan dalam semua hal.

Carilah teman untuk menjadi pendamping, teman itu mampu memberikan rasa kasih sayang yang membuatkan kita tahu bahawa kita tidak berkeseorangan, teman itu jugalah yang akan memujuk diri yang bersedih, menjadi tempat mengadu dan menjadi pendengar untuk meluahkan segala apa yang terbuku. Dia mungkin sentiasa akan ada bersama dalam menempuhi kesedihan ini selagi mana tidak melanggar batas agama.


Sejukkanlah hati yang lara dengan berwuduk seikhlas hati, air basahan wuduk itu mudah-mudahan dapat menghilangkan resah di hati dan menghadirkan ketenangan jiwa. Dekatkanlah diri kepadaNya, solat dan berdoalah minta pertolongan dariNya. "Ya Allah, aku mensyukuri nikmat-nikmat kurniaanMu, aku redha dengan ketentuanMu, dan aku bertawakkal segala-galanya kepadaMu".

Jika rasa sedih itu adalah air, alirkanlah ke akar-akar pohon, ke tanah-tanah gersang, ke sungai yang kekeringan, atau ke tasik yang kering kontang, agar air itu mampu memberikan manfaat. Janganlah air itu jatuh dari mata yang berkaca, kerana sudah terlalu banyak air yang mengalir dari situ, dan air itu mungkin tidak mampu memadam api nerakaNya malah menghadirkan kemurkaanNya. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...