Cinta Yang Tak Sempurna

Assalamualaikum wbt.
 
Semua orang pasti akan pernah cakap mengenai cinta, walaupun sekali. Dan semua orang pasti suka atau berasa suka bila menyebut atau menyentuh mengenai cinta. Cinta itu bererti perasaan kasih, sayang, dan rindu yang amat mendalam. Apakah yang kita faham mengenai cinta, dari mana datangnya cinta, untuk apa kita mempunyai cinta, benarkah rasa cinta itu adalah sebenar-benar cinta?.

Seperti yang kita maklum, cinta ini punya pelbagai cabang, seperti cinta kepada Maha Pencipta, cinta sesama manusia, cinta kita kepada makhluk-makhluk Allah swt., cinta kepada ilmu, dan berlain macam lagi erti cinta. Dan cinta yang popular, cinta yang selalu disebut-sebut sesama manusia, adalah cinta kepada sang kekasih yakni cinta fitrah manusia kepada bakal suami/isteri. Sudah menjadi naluri terutama buat para remaja untuk bercinta dan dicintai. Alam cinta inilah yang dikatakan terindah, benarkah wahai kawan?

Bercinta itu dibenarkan di dalam Islam, tetapi biarlah kena pada caranya. Kita merasakan cinta itu adalah segala-galanya, seperti ia cukup sempurna dan kita berasa seolah-olah kita yang paling bahagia. Ya sahabat, selagi mana ikatan antara dua insan yakni lelaki dan perempuan ajnabi itu belum disahkan melalui pernikahan, cinta itu pasti tidak akan mendapat redha Allah swt.


Jaga adab dan caramu dalam bercinta, jangan hingga melangkaui batas pergaulan antara ajnabi. Bercinta itu biarlah yang mendapat redha Allah dan barakah daripadaNya. Biar bersederhana dalam bercinta, jangan pula merana kerana cinta. Cintailah kepada Allah terlebih dahulu, kerna itu bisa menjadi landasan untuk memperoleh cinta yang hakiki dari insan tercinta. Agar kita tidak terjerumus ke dalam lembah cinta yang hina, ambillah sumber kecintaan yang hadirnya daripada Allah swt.
 
Cinta itu perlu, kerana ia mampu memberi sumber kekuatan unik dalam diri manusia, yang bisa mengubah hati, jiwa, sikap, perbuatan, dan perilaku ke arah yang lebih positif. Kerana cinta, kadangkala kita akan berubah menjadi lebih baik dan tekun dalam melaksanakan sesuatu. Kerana cinta juga, kita bisa menjadi lebih kuat beribadah kepada Allah swt.

Ada cinta yang tulus penuh kerelaan yang datangya dari hati, dan ada pula cinta yang penuh duri dan racun. Ada cinta yang lahir dari keimanan dan ketaqwaan, dan cinta juga ada yang lahir dari hawa nafsu yang hina. Mana satu pilihan kita, adakah cinta yang kita ada sekarang cukup sempurna?, Insyaalah, cinta yang sempurna itu adalah cinta yang mendapat keredhaanNya dan ditambah pula dengan restu kedua ibubapa tercinta. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...