Assalamualaikum wbt.
Ya kalian, mempunyai harta benda yang banyak di dunia ini pasti kita akan merasakan hidup kitalah yang paling bahagia dan hidup kitalah yang paling sempurna. Dengan hartalah kita mampu memiliki segala-galanya, mampu menguasai apapun, mampu untuk menjadi yang berkuasa dan segala macam keinginan yang tak pernah putus sehinggakan kadangkala kita menjadi semakin tamak dan rakus.
Satu hadis menyebut, "sekiranya anak Adam memiliki satu lembah yang penuh harta, nescaya itu tidak cukup baginya dan ia mahu yang kedua, dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan yang tinggal hanyalah tanah, dan Allah sentiasa menerima taubat buat siapa yang bertaubat".
Dunia ini penuh dengan emas ataupun perak yang sememangnya berharga nilainya, ataupun penuh dengan segala jawatan dan istana-istana yang dipandang tinggi kedudukannya. Segala inilah yang banyak menjadi buruan manusia di dunia, "mahu hidup senang katanya", tapi apakah kita lupa dari mana datangnya segala kemewahan ini dan siapa punya hak mutlak ke atas kesemuanya?.
Sahabat tercinta, harta kita yang paling berharga adalah rezeki dikurniakan syurga. Burulah dan carilah harta syurga yang pasti akan hadir pada kita tatkala jiwa ini terisi dengan jiwa seorang mukmin yang cinta dunia dan segala isinya kerana memburu cinta Allah swt.. Wang dan segala kekayaan harta dunia, tidak lebih hanya dari harta pinjaman amanah Allah yang bila tiba waktunya ianya akan kembali kepadaNya jua.
Andai kata kita menerima harta syurga yakni kita berjaya menjadi golongan ahli-ahli syurga, alangkah indahnya wahai insan, segala benda dan anugerah di dalam syurga adalah milik kita dan akan kekal selama-lamanya. Ketika itu akan buat kita terfikir, tiada nilai sebenarnya saat kita meraung, menangis, menyesali dan meratapi kehilangan harta dunia yang tidak seberapa, kerana kita sedar kita telah memperoleh harta yang paling berharga yakni syurga kurniaanNya.
Bersenanglah dengan rezeki itu walaupun sedikit dan nikmat rezeki itu akan memberi keberkatan kepada kita. Hilangkan tangismu mengenang miskinnya hidup di dunia kerana andai jiwa kaya dengan akhirat, pasti rezeki itu akan hadir dan memberikan kesenangan hidup kita di dunia dan akhirat kelak. Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan